Friday, September 28, 2012

PIYA Badhri Radzi Kapten Kelantan TRW Yang HEBAT!!!


Kapten Fantastik! 

Mungkin itulah ayat yang tepat bagi menggambarkan kehebatan dan pengaruh ketua pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi atau lebih dikenal dengan gelaran Piya.


Lahir pada tanggal 2 Jun 1982 di Pengkalan Chepa, Piya mula bermain bola secara aktif sejak berumur 12 tahun. Ketika itu beliau bermain untuk Sekolah Kebangsaan Padang Garong sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan Putera pada tahun 1995. Menurut Piya, beliau memang dari kecil mengimpikan untuk menjadi pemain bola sepak.

"Memang cita-cita saya nak jadi pemain bola sepak. Ayah saya dulu juga merupakan pemain bola sepak dan pernah bermain untuk pasukan TNB Kelantan. Ketika itu era semi-pro. Setiap kali ayah saya ada perlawanan, saya akan pergi menonton. Saya tidak pernah ketinggalan untuk menyaksikan ayah saya beraksi. Dari situlah muncul minat saya untuk bermain bola sepak," cerita Piya.

Pada tahun 2002, ketika Piya berumur 20 tahun, beliau telah menyertai pasukan Milo Kelantan sebelum dipanggil menyertai pasukan Liga Simpanan pada tahun 2003 di bawah bimbingan jurulatih Anizan Daud.

Pada tahun 2004, beliau telah diserapkan untuk bermain dalam Liga Malaysia. Pada tahun 2005, Piya menyertai pasukan TNB Kelantan selama semusim sebelum menyarung jersi JPS Kelantan pada tahun berikutnya.

Ketika bersama JPS Kelantan, Piya telah berjaya membantu pasukan menjuarai Liga FAM dan sekaligus layak ke Liga Perdana.

Permainan Piya bersama JPS Kelantan telah menarik minat pasukan PDRM yang kemudiannya menagih khidmat beliau, menyarung jersi pasukan PDRM pada tahun 2007, sekaligus berjaya membantu pasukan berkenaan muncul sebagai juara Liga Perdana.

Selepas beberapa tahun berkelana di negeri orang, akhirnya pada tahun 2008, ketika berusia 26 tahun, Piya telah dipanggil pulang ke Kelantan untuk menyarung jersi merah putih kebanggaan rakyat negeri Kelantan. Ketika itu beliau bermain di bawah bimbingan jurulatih Norizan Bakar dan ketua pasukan ketika itu ialah Khairul Anuar Ramli.



Pada tahun itu juga, Piya dan rakan sepasukan berjaya membawa pasukan Kelantan layak ke saungan Liga Super musim 2009.

Bermula pada tahun 2009, bermulalah kebangkitan pasukan Kelantan dari zaman malap. Ketika itu, Presiden Tan Sri Annuar Musa telah membawa masuk ketua jurulatih, Peter James Butler dan beberapa pemain baru seperti Khalid Jamlus, Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Muhammad untuk memantapkan lagi pasukan. Dan ketika itu jugalah Badri Radzi telah dipilih untuk mengetuai pasukan Kelantan.

"Ketika mula-mula dilantik sebagai ketua pasukan, saya menolak tawaran itu kerana masih ada pemain senior yang layak memakai lilitan ketua pasukan berbanding saya. Namun, setelah membuat undian dan ketua jurulatih, peter James Butler, berkeras mahukan saya menjadi ketua pasukan, akhirnya saya menerima tugas tersebut, bermula pada tahun 2009," menurut Piya.

Aksi cemerlang Piya bersama pasukan Kelantan sedikit terjejas selepas beliau mengalami kecederaan yang serius semasa perlawanan menentang Pulau Pinang pada tahun 2009. Kecederaan patah kaki kiri mengambil masa tujuh bulan untuk sembuh menyaksikan beliau terlepas aksi pertama final Piala Malaysia 2009 ketika era B. Sathianathan.

Piya kembali menyertai pasukan selepas Piala Malaysia tersebut.

Pada musim 2010, Piya telah berjaya pulih sepenuhnya dari kecederaan dan mula bermain dengan baik. Antara kejayaan yang dikecapi pada tahun 2010 ialah tempat kedua Liga Super dan juara Piala Malaysia 2010. Kenangan itu merupakan kenangan yang paling manis sepanjang karier beliau sebagai pemain bola sepak.



"Kejayaan menjulang Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah bola sepak Kelantan merupakan kenangan yang paling manis. Apatah lagi menjulang piala selaku ketua pasukan dan menjaringkan gol kemenangan, itu merupakan kenangan yang paling manis sepanjang karier saya," kata Piya.

Menceritakan kenangan pahit sepanjang karier pula, Piya menyatakan terpaksa direhatkan lama kerana kecederaan adalah kenangan pahit beliau.

"Ketika cedera di Pulau Pinang, saya berasa seolah-olah tidak akan mampu untuk bermain bola lagi. Ketika diusung keluar padang lagi saya sudah menangis mengenankan apa yang akan berlaku seterusnya. Saya terfikir adakah saya masih mempu bermain. Macam-macam perasaan yang bermain di fikiran ketika itu," cerita Piya.

Untuk musim 2012, Piya berazam untuk menjulang Piala FA serta mengekalkan kejuaraan Liga Super. Selain itu, beliau juga berjanji akan melakukan yang terbaik untuk saingan Piala AFC. Beliau bercita-cita untuk menyarung jersi Kebangsaan untuk Piala AFF tahun ini.

"Yang pertama, saya mahukan Piala FA, satu-satunya piala yang belum kita miliki walaupun sudah dua kali beraksi di pentas final. Yang kedua, saya mahu kekalkan kejuaraan Liga Super. Sementara dalam Piala AFC, saya akan cuba buat yang terbaik memandangkan ini kali pertama kita bermain di pentas AFC. kita sendiri tidak mampu lagi mengukur keupayaan sebenar. Pada tahun ini juga, kalau ada rezeki, saya nam merasai menyarung jersi pasukan Malaysia dalam kejohanan Piala AFF," jelas Piya.

Ditanya mengenai cabaran menjadi pemain bola sepak, Piya mengakui menjadi pemain bola sepak sememangnya banyak cabaran.

"Bukan senang nak puaskan hati semua orang. Membuat silap adalah perkara biasa dalam bola sepak. Jurulatih pernah berpesan kepada saya, jika buat silap, jangan peduli apa orang kata. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Apa yang penting, kita sudah melakukan yang terbaik ketika berada di atas padang. Ambil kritikan itu untuk memperbaiki kesilapan dan menjadi lebih baik."


Apakah harapan Piya kepada penyokong?

Harapan saya kepada penyokong, kalau boleh, setiap kali perlawanan saya mahu stadium sentiasa penuh. Beri semangat kepada pemain-pemain da pemain akan berikan 120%. Biar lawan gerun untuk bermain di Kota Bharu.

Adakah Piya mengimpikan untuk bersara di Kelantan?

Soalan cepu emas yang sukar untuk dijawab buat masa sekarang. Apa yang pasti, pada musim ni, saya mahu merasai kenikmatan menjuarai Piala FA. Sudah dua kali kita layak ke final dan sudah dua kali kita tewas di final. Jadi tahun ini, saya target untuk menang Piala FA selain mempertahankan kejuaraan Liga Super.

Macam mana dapat nama "Piya"?

Nama "Piya" ini sebenarnya diberi oleh seorang bekas jurulatih semasa saya bermain di Padang Bank. Beliau dikenali dengan nama gelaran "etuk". Beliau yang beri nama "Piya" kepada saya kerana ketika itu ada seorang pemain Colombia, Faustiono Asprilla yang cukup tersohor. Beliau cakap, nama "Piya" ini sesuai untuk saya. Dan dari hari itu hinggalah sekarang, nama gelaran "Piya" itu melekat dan sinonim dengan diri saya.

Oleh : DUNIA WARRIORS, Edisi Mac/April 2012



Selamat Hari Jadi Piya 2012







Mckelate:  Akan mendoakan PIYA dan menyokong PIYA dan pasukan Kelantan selamanya.  Semoga PIYA sentiasa beroleh kejayaan dan kebahagiaan dalam hidup. PIYA IS THE BEST...Gomo Kelate Gomo!

No comments: